“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat perumpaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya setiap musim, dengan seizin Rabbnya. Allah membuat perumpaan-perumpaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tegak sedikit pun.” (Surah Ibrahim ayat 24-26).
Alhamdulillah. Dengan izin-Nya, kali ini, saya masih diberi kekuatan untuk menulis lagi. Kali ini, ia akan menyentuh ayat-ayat amthal atau ayat-ayat beranalogi dari Tok Guru Nik Abdul Aziz yang disarati pelbagai lapis makna. Sebetulnya, menggunakan amthal atau analogi/perbandingan adalah sunnah Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad saw. Bahkan, ia menjadi kaedah yang masyhur; digunakan dalam teknik menyampaikan dakwah. Antara beberapa perbandingan yang mewah dan di temui di dalam al-Quran termasuklah penggunaan biji sawi, padi, kurma, kasturi, anak panah, tikar, lubang biawak, nyamuk, lalat, belalang, kelkatu, labah-labah, anjing , keldai, bidadari bermata jeli atau sungai yang mengalir.
Bahkan, ada juga terdapat perbandingan yang agak ekstrim di mana makhluk manusia di samakan seolah-olah seperti nyamuk, lalat, labah-labah, anjing dan keldai.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti)
nyamuk atau yang lebih kecil daripada itu" (Surah al-Baqarah ayat 26). Amthal yang berkaitan dengan unsur-unsur alam juga cukup kerap digunakan di dalam al Quran. Misalnya firman Allah dalam surah al-Hashr ayat 21 yang bermaksud ,"sekiranya Kami turunkan Al-Qur an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu’ serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya".
Jauh memukau umpamanya, dalam surah al-Ra'd ayat 35, Allah SWT berfirman yang bermaksud, "perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa (ialah seperti taman), mengalir di bawahnya sungai-sungai; sentiasa berbuah dan teduh".
Patutlah kata-kata Nabi, sahabat, guru yang mursyid, pendita dan penyair taraf klasik, walau digali dan dihidang ,tak pernah mengenal erti jemu saat kita membaca. Rupanya, mereka bukan sekadar menampilkan wajah ketika menulis dan berbahasa tetapi memperbaharui kulit wajah dalam menampilkan ekpresi yang sarat beranalogi sewaktu berbahasa.
Jika yang tua boleh mengingat dan sedia bercerita, kenapa yang muda tidak boleh mendengar lalu merenung demi menimbangnya? Jika mampulah sebuah pertukaran barter, yang saling memberikan boleh dilangsungkan dengan linang, tentu ia terbaik demi kelangsungan sebuah proses peralihan pesaka berupa pesan
pesan pemikiran yang mulus lagi mulia.
Pendek kata, seorang pendidik yang berjaya adalah dia yang berjaya mengemukakan gambaran-gambaran perumpamaan sewaktu membentuk jiwa pelajarnya. Ini justeru, ayat-ayat perumpamaan al-Quran banyak mengandungi unsur pendidikan jiwa yang menggunakan kaedah melalui penggunaan pelbagai amthal ini.
Maka di sini, Tok Guru juga mengambil pendekatan penggunaan analogi dan perumpamaan untuk mengangkat makna-makna yang hendak disampaikannya di sana sini. Inilah rationale kehadiran ayat-ayat power Tok guru ! Melalui kebijakan teknik menyampaikan, lapis ke lapis dari pelbagai tingkat dan aras, maka akan berlakulah pemindahan ilmu secara berkesan; generasi ke generasi . Langsung apa yang akan menyusul adalah proses tajdid yang tidak meninggalkan yang lama selagi ia terpuji; bersambung dengan yang baharu selagi yang baharu itu pantas. Selagi kedua-duanya menepati syariah, kenapa harus tidak ?
Masa tetap beredar.Tiada siapa boleh mengelak untuk membuat pengisian. Kita tiada pilihan untuk mencipta dan meneruskan tamadun kerana kita sendiri adalah unsur dan proses yang mengadunnya dalam menentukan apa yang terbaik demi mengisi kandungan tamadun. Jika kita yang ada, boleh terlintas untuk menyaring dan menghening gagasan gagasan semulia ini dari asyik bermain kuasa demi tamakkan kuasa, alangkah. Dalam semangat inilah, saya cuba menggagahkan diri untuk menyelam ke laut kata-kata almarhum Tok Guru walaupun jauh di sudut hati, saya pun khuatir, jika saya tidak mampu atau tersasul; bagaimana ?
Namun, jika kita asyik bertolak dari takut justeru mahukan yang “perfect and zero defect” mungkin kata-kata hikmah Tok Guru akan kekal tinggal tertanam; tak tergali sampai ke bila. Jadi, dari saya khuatir membuat kesilapan lalu tidak berbuat apa-apa, lebih elok saya mencuba sesuatu lalu memulakan sesuatu buat
sesiapa. “To do nothing is the way to be nothing.”( Nathaniel Hawthorne). Dan, mengenal lalu menikmati nilai keindahan ayat-ayat pesan beranalogi pintar tinggalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz - tahu menghargainya merupakan sehiris keupayaan beraras tinggi. Sepatah kata magis menggunakan mantik yang pintar dari beliau ada berbunyi begini :
“Takkanlah nak bubuh air dalam tangki minyak, bubuh minyak dalam tangki air.”
Ini soal meletakkan sesuatu biar kena pada tempatnya. Sekali gus, 55 kata-kata berbisa Tok Guru yang kami angkat lewat pusingan ini adalah anugerah kenikmatan yang bukan sedikit buat setiap orang yang gemar merenung dan ingin mengenal. Malanglah nasib seorang yang "cenderung merawat rohani" jika dia tidak mampu menikmati bentuk-bentuk kenikmatan dari alam seni halus yang ditukangi oleh seorang murobbi, seorang yang telah sempat hidup; sewaktu dan sezaman dengannya. Mungkin salah satu dari hikmah dan tujuan terpenting amthal atau perumpamaan digunakan oleh Allah dan Rasul dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadis adalah supaya mesej pengajaran di dalamnya mudah melekat. Dengan adanya amthal, ia memasak ingatan terhadap objek atau bahan yang diangkat itu lalu lebih menunjangi sesebuah mesej.
Mari kita cuba sandarkan kepada firman Allah SWT yang ada membawa maksud:“Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah Yang baik adalah sebagai sebatang pohon Yang baik, Yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan
perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka selalu ingat. Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon Yang tidak berguna Yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (Surah Ibrahim, ayat 24-26).
Bahkan sebuah tamsil (analogi) dapat membuat jiwa kita lebih dekat dan lebih cepat untuk menerima dan mudah larut di dalam sesebuah penjelasan. Pada giliran seterusnya, jiwa tersebut itu akan mudah tunduk dan akur terhadap kebenaran yang diumpamakan melalui setiap tamsil yang di ketengahkan. Semakin lugas sesebuah tamsil, maka semakin jelas pulalah maksud yang akan sampai.
Barangkali, atas kesedaran itulah juga arwah Tok Guru sering menggunakan pendekatan yang sama. Saya hanya si tukang catat. Maafkan saya. Ya Allah ya Tuhanku. Ampuni daku jika adalah yang terkhilaf dan ada yang dari diriku ini yang tertinggal dan masih terlupa.
َنَّبَ ر ۚ اَنْأَطْخَ أ ْوَ أ ٓاَ ين ِسَّ ن ن ِ إ ٓاَنْذِ اخ َؤُ ت َ ا لَ َنَّبَر اَ ط َ ا لَ َ ا م َنْ لِمَحُ ت َ لََ ا و َنَّبَ ر ۚ اَنِلْبَ ن ق ِ م َ ين ِذَّ ى ٱل َلَ ع ُۥ هَتْلَمَ ا ح َمَ ا ك ًرْصِ إ ٓاَنْيَلَ ع ْلِمْحَ ت َ لََ ا و اَّنَ ع ُفْ ٱع َ و ۖ ِۦ هِ ا ب َنَ ل َةَق
َ ين ِرِفَٰكْ ٱل ِمْوَقْ ى ٱل َلَ ا ع َنْرُ ٱنص َ ا ف َنٰىَلْوَ م َ نتَ أ ۚ ٓاَنْمَحْ ٱر َ ا و َنَ ل ْرِفْ ٱغ َو
”Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau bebankan kepada kami, beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah : 286).
Betapa takung ilmuku cukup terbatas, berbanding dengan ilmu -Mu yang tak bertepi - Maha Agung dan Maha Luas. Hanya kepada-Mu jua aku berserah.